Sunday, January 11, 2009

Adakah Dia Yang Sebenarnya... ?


Semalam, si dia telah meluahkan apa yang dirasainya terhadap aku.. Katanya, walaupun kami belum pernah bersua, namun dari caraku, dia tahu aku baik.. BAIK ? Perkataan itu terlalu luas definisinya.. Aku tahu aku tak sempurna, masih banyak tentang diriku yang masih harus aku perbaiki.. Aku tak tahu apa benar aku seperti yang dia rasakan.

Selama ini, aku kurang menjadi diriku.. Aku tidak terlalu mesra dengannya memandangkan status dirinya yang bergelar seorang ustaz. Dan dia juga tidak pernah melampaui batas, tergesa2 memintaku menjadi teman istimewa dalam hidupnya. Bagi aku, dia agak berahsia. Tapi, dia mengatakan dia sememangnya seorang yang suka berfalsafah dan selalu berkias, dan susah utk org lain memahaminya, maka seringkali org tersalah tafsir dengan mengatakan dia seorang yang suka berahsia. Keadaan seperti itu membuatkan aku turut mengikut rentaknya di mana aku rasakan banyak juga tentang diriku yang tidak dia ketahui. Yang bagiku, adalah penting untuk dia ketahui. Namun, mungkin masanya masih belum sampai. Sekarang ini, biarlah antara kami terselindung 1001 rahsia yang mungkin hanya akan dikongsi apabila kami sah menjadi teman sehidup semati kelak, insya Allah.

Menurutnya, aku ada hak untuk menentukan masa depanku sendiri, tidak seharusnya hanya tunggu dan lihat apa yang akan terjadi dengan masa depanku. Aku tahu.. Aku bercakap demikian apabila dia berkata yang dia kalau boleh mahu berkawan denganku dengan ikhlas, dan mahu lebih serius denganku. Aku sememangnya gembira apabila mendengarkan seorang yang seperti itu menyukaiku.. Namun jauh di sudut hatiku, pelbagai persoalan datang menerpa. Adakah aku layak dan sepadan dengannya ? Adakah dia akan menyayangiku sepenuh hatinya sepanjang hayat ? Adakah dia takkan mengecewakanku sama seperti insan-insan lain yang juga pernah berjanji sehidup semati denganku ? Adakah dia akan tabah dan sabar apabila berjauhan denganku selepas pemergiannya ke Sabah kelak ? Adakah dia akan setia denganku walau dia berjumpa gadis-gadis lain yang lebih baik dan cantik dariku di sana nanti ? Dan adakah benar antara kami punya jodoh yang telah ditentukan Allah ..?

Soalan-soalan ini bermain-main di fikiran aku sejurus dia melafazkan isi hatinya terhadapku.. Aku betul-betul tak tahu apa yang harus aku lakukan sekarang. Aku risau benar jika aku tak mampu mengikut rentaknya. Dia bukanlah seperti lelaki-lelaki lain yang pernah aku kenal, di mana dia tidak pernah menzahirkan dan menunjukkan rasa suka dan sayang terhadapku selama kami berkenalan. Entahlah.. Segalanya masih terlalu kabur untuk diperkatakan.

Aku benar-benar berharap agar Allah membuka laluan buatku bagi menghadapi situasi ini dengan sebaik mungkin.. Aku berdoa kepada Allah, seandainya benar dia inilah jodohku, maka dekatkanlah hati-hati kami.. Namun, seandainya dia bukanlah ditakdirkan untukku, aku mohon agar dijauhkan hati-hati kami. Engkau tunjukkanlah aku jalan yang sebenar-benarnya ya Allah..

Wednesday, January 7, 2009

Kenapa Aku Harus Bersyukur ?

Syukur... Ungkapan yang selalu skali aku dengar. Alhamdulillah... Itulah ungkapan untuk menunjukkan rasa syukur seseorang hamba terhadap Allah. Terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan untuk hamba-hambaNya yang bersyukur. Walaupun seseorang itu melupakan-Nya, mungin dengan cara tidak menunaikan solat..atau sebagainya, namun Tuhan masih lagi memberi nikmat hidup kepadanya, melimpahkan rezeki, dan lain-lain. Kadangkala Tuhan ingin menguji sejauh mana kita sebagai hamba-Nya akan terleka dengan segala nikmat hidup yang dikurniakan-Nya sekiranya kita tidak pernah bersyukur. Oleh itu, selalulah membasahkan lidah dengan ucapan Alhamdulillah sebagai tanda kita bersyukur dengan segala rezeki dan nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita.


Walaupun aku kini sedang dilanda ujian yang dahsyat bagiku, namun jauh di sudut hatiku, aku mulai berfikir.. Terlalu banyak kurniaan Allah yang telah dianugerahkan buatku.. Mengapa aku harus bersyukur ? Jawapannya, terlalu banyak untuk aku senaraikan.. Namun akan aku cuba untuk menyenaraikan beberapa sebab mengapa aku harus bersyukur, kepada Yang Maha Esa.


  • Aku bersyukur kerana Allah memberiku petunjuk yang sangat-sangat bermakna bagiku tatkala aku benar-benar memohon kepada-Nya.. Aku teramat yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar dan Maha Pengasih..
  • Aku mempunyai keluarga yang selalu menyokongku tatkala musibah-musibah melanda diriku.. Mereka tak putus-putus memberiku semangat untuk meneruskan hidup walaupun aku seringkali tersungkur dan menangis
  • Aku memiliki kawan-kawan yang masih mengambil berat tentang diriku, walaupun bukan semua.. Aku masih memiliki kawan-kawan yang sentiasa mahu melihatku mengukir senyum walaupun aku sedang dirundung derita dan sedih
  • Walaupun aku tidak secantik kebanyakan kawan-kawanku yang lain, namun aku tetap bersyukur kerana Allah telah menjadikan aku sebaik-sebaik kejadian, tiada cacat celanya.. Bagaimana jika aku cacat pendengaran, pengelihatan ? Fikirkan sejenak. Dan Allah juga telah menjadikan aku sihat walafiat dan mampu menguruskan hidupku dengan baik.
  • Aku juga bersyukur kerana aku menjadi insan yang dizalimi, bukannya yang menzalimi.. Sesungguhnya insyaAllah besar ganjarannya untuk hamba-hambaNya yang bersabar menghadapi ujiannya. Sekurang-kurangnya bukan aku yang menzalimi orang lain. Biarlah orang menzalimiku.. Namun jangan sekali aku menzalimi orang lain. Sekali lagi, alhamdulillah.
  • Aku patut bersyukur kerana Allah mengurniakan aku akal yang cerdas hinggakan membolehkanku menjejakkan kaki ke menara gading.. Bayangkan bagaimana jika aku tidak lepas peperiksaan SPM pun dan harus menyusahkan ibubapaku untuk menyara kehidupanku? Aku bersyukur ya Allah...
  • Aku bersyukur kepada Allah Yang Esa kerana rezeki ku dimurahkan, walaupun aku tidak semewah rakan-rakan yang lain namun rezekiku tidak pernah putus.. Dan alhamdulillah aku ditawarkan biasiswa yang mampu meringankan beban ibuku untuk menyaraku.
  • Dan...Aku teramat bersyukur kerana aku masih diberi peluang untuk bernafas di atas bumi Allah ini, kerana rasanya masih banyak lagi dosa-dosaku yang masih belum ku tebus.. Masih banyak lagi amalan yang harus aku laksanakan untuk memperoleh rahmat-Nya di akhirat sana. Terlalu banyak lagi yang harus kulaksanakan untuk mendekati Allah, Penciptaku Yang Esa.
Sesungguhnya, jangan sekali kita berasa malang apabila dirundung duka, atau ujian dari Allah. Sebaliknya, pandanglah dari sudut yang positif, betapa harus kita bersyukur atas segala rahmat dan kurniaan yang Allah berikan buat kita. Ingatlah, Allah tidak akan menurunkan sesuatu ujian kepada hamba-Nya jika Dia tahu kita tak dapat menghadapinya. Dan itu bermakna, jika kita dilanda sesuatu ujian, kita sememangnya tabah dan kuat, kerana Allah menurunkan ujian buat kita. Alhamdulillah...

Monday, January 5, 2009

Lukisan Alam


LUKISAN ALAM

Album :
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com


Hidup tidak selalunya indah
Langit tak selalu cerah
Suram malam tak berbintang
Itulah lukisan alam
(Begitu aturan Tuhan)

Jadilah rumput nan lemah lembut
Tak luruh dipukul ribut
Bagai karang di dasar lautan
Tak terusik dilanda badai

Dalam suka hitunglah kesyukuranmu
Dalam senang awasi kealfaanmu
Setitis derita melanda
Segunung kurniaanNya

Usah mengharapkan ke segalanya
Dalam perjuangan penuh pengorbanan
Usah dendam berpanjangan
Maafkan kesalahan insan
(Begitu ajaran Tuhan)

Hasbiallah, Hasbunallah
HasbiRabbi jalallahu Ya Allah

Dalam diam taburkanlah baktimu
Dalam tenang buangkanlah amarahmu
Suburkanlah sifat sabar
(Di) dalam jiwamu itu

Aku cukup tersentuh bila mendengarkan bait-bait kata dalam lagu ini.. Sesungguhnya memang benarlah dalam hidup ini kita akan senantiasa diduga oleh pelbagai ranjau, onak dan duri yang kadangkala kita sendiri rasakan tidak dapat menanggung segala derita dan ujian tersebut.. Namun, bila direnung sejenak, bila aku mula berfikir betapa malangnya diri ini kerana terlalu banyak dugaan demi dugaan yang datang menimpa, aku mula berfikir.. Betapa beruntung dan bertuahnya aku kerana aku masih punyai banyak nikmat hidup lain yang dikurniakan Allah. Aku masih punyai keluarga yang begitu sayangkan aku, yang sentiasa berada di sisi tatkala apa-apa ujian dan dugaan datang melanda. Dan aku tahu, Allah masih menyayangiku.. Kerana Dia turunkan aku ujian ini demi untuk meningkatkan keimanan aku terhadap-Nya. Aku sedar, selama ini aku hanyut dibuai keindahan dunia sampaikan kadangkala aku leka dan lalai.. Aku tertipu oleh dunia yang penuh dengan tipu helah hinggakan aku begitu asyik di dalam duniaku sendiri..

Ya Allah.. Aku bersyukur kepada-Mu yang Esa kerana telah memberiku ujian hidup ini. Kerana ianya benar-benar menginsafkan aku dan ianya seakan-akan suatu hidayah yang Engkau kurniakan buatku. Jika tidak, mungkin aku masih lagi leka dan lalai di dalam dunia ciptaanku sendiri. Yang tidak Engkau redhai. Ya Allah.. Engkau kuatkanlah hatiku untuk berhadapan dengan 1001 onak dan ranjau hidup ini agar aku tabah dan kuat dalam menghadapi segalanya.. Ya Allah.. Aku berserah segalanya hanya kepada-Mu.. Aku mohon perlindungan dari-Mu ya Allah.. Aku mohon moga Engkau membantuku untuk mendekati-Mu ya Allah..

Seperti dalam lagu ini, ada tertulis bait "Usah dendam berpanjangan, Maafkan kesalahan insan.." Ya, aku sememangnya memaafkan insan-insan itu.. Bahkan jauh di sudut hatiku, aku bersyukur.. Kerana jika insan-insan tersebut tidak menzalimiku seperti mana sekarang, mungkin aku masih lagi lalai.. Mungkin aku masih lagi tidak dikurniakan hidayah untuk kembali kepada jalan Allah seperti mana sekarang.. Aku bersyukur.. Seandainya insan-insan tersebut dapat membaca luahan hatiku sekarang, ingin sekali aku mengucapkan jutaan terima kasih atas segala perbuatan dan kezaliman yang telah mereka lakukan terhadapku. Kerana tanpa ini semua, mungkin aku tidak berada di sini, menulis bait-bait kata seperti ini. Dan aku yakin dengan-Mu ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Adil. Hanya Engkau yang mampu membalas segala kezaliman mereka terhadapku hari ini, dan aku mohon agar suatu hari nanti mereka akan sedar dan insaf.

Alhamdulillah, begitu besar hikmah hidup yang Engkau kurniakan buatku, ya Allah..